TENGKOLOK RIO PRODUCTION

Assalamualaikum dan Hi!
Jom kita mengenali Wau Bulan!

Peralatan yang Diperlukan

1. Batang Buluh
2. Parang
3. Pisau Kertas
4. Tali Nylon
5. Tali tangsi / teraju
6. Gam / kanji
7. Kertas wau
8. Kertas warna

Meraut Buluh

Tujuan : Memberi keseimbangan pada bentuk dan berat bahagian sayap wau.Cara-cara
1. Bahagian tulang belakang - diraut sehingga 1.0 cm dengan kadar lembut dan sederhana keras.
2. Bahagian bilah sayap (kedua-dua bahagian) - diraut sehingga 1.5 cm dan semakin halus dihujung bilah tersebut iaitu sebesar lidi kelapa.
3. Bahagian ekor (yang mempunyai kedua-dua bahagian) - diraut sehingga 0.5 cm.
4. Raut bilah-bilah buluh untuk bahagian pinggang dan bulatan berbentuk bulan. Rautan di bahagian tersebut adalah lebih nipis dan bersaiz kecil 0.5 cm untuk memudahkan ia dibentuk.

Membuat Bingkai

(Bingkai wau terdiri daripada beberapa bahagian utama, tulang belakang, tulang rentas sayap, rangka sayap, rangka ekor.)Cara-cara
1. Semua bilah yang telah diraut tadi akan digosok pula dengan kertas pasir.
2. Bahagian sayap wau akan diikat dengan tali terlebih dahulu.
3. Sayap yang sudah diikat akan diikat pula pada tulang belakang.
4. Ikat di bahagian atas dan bawah ekor pada tulang belakang. Pastikan bahagian tersebut seimbang di kedua-kedua belah.
5. Cantumkan hujung bahagian ekor kemudian tautkan pada hujung bahagian sayap.
6. Untuk bahagian pinggang terutamanya jenis wau bulan, kepingan buluh ditaut membentuk separa bulatan pada bahagian sayap dan ekor wau.
7. Kepingan buluh yang diraut lebih nipis dibentuk menjadi bulatan untuk diikat di tengah pinggang wau. (Saiznya ditentukan dengan mengikut nisbah iaitu bersamaan dengan keluasan kepala wau.)
8. Langkah terakhir ialah membuat kepala wau iaitu dengan mengikat separuh daripada kepala wau dengan sayap dengan jarak 2 inci dari tulang belakang.

Memasang ‘tanah’ Wau

Tujuan : Wau tersebut tahan lasak kerana sifat utama kertas tersebut lebih kenyal dan tidak ditembusi angin.Cara-cara
1. Ukur kertas dengan saiz bingkai.
2. Kertas akan ditanda dengan pensil perlu dilebihkan dua sentimeter dari rangka bingkai.
3. Potong kertas wau tersebut dan lebihan tadi dipotong dalam bentuk 'V'.
4. Lekatkan kertas pada bingkai dengan menggunakan gam kanji.

Mengukur dan Melukis Corak

Tujuan : Menambah keunikan dan keistimewaan wau dengan kreativiti tersendiri.Cara-cara
1. Lipat empat kertas warna untuk bahagian sayap, dan lipat dua untuk bahagian ekor.
2. Lukis dari bahagian dada sehingga ke sayap dengan mengosongkan satu ruang kosong untuk ruang tapak kijang. Bagi bahagian ekor pula,corak yang hendak dilukis mestilah sama dengan corak di bahagian sayap.
3. Corak perlu dipotong menggunakan pisau tajam khas dan corak ini menjadi corak asas bagi wau.
4. Corak akan ditampal pada kertas warna lain, biasanya warna emas dengan menyapu gam di belakang kertas corak. (Gam perlu dicampur dengan air terlebih dahulu untuk elakkan daripada berkedut.)
5. Kertas bercorak akan diletakkan di atas kain lembap. Kertas berwarna diletakkan perlahan-lahan ke atas kertas corak dan kemudiannya diratakan dengan menggunakan seterika panas di atas kain lembap tadi.
6. Potong semula corak yang hendak disobek dan tampal sekali lagi dengan kertas berlainan warna sehingga siap sepenuhnya.
7. Tampal ukiran sobek tadi pada tanah wau dengan hanya menyapu gam kanji pada bahagian tepinya sahaja.
8. Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam menggunakan berus lukisan.
9. Bagi wau hiasan akan ditampal kertas hiasan di belakang wau untuk menutup kecacatan iaitu kerangka buluh dan tulang rentas sayap wau.
10. Wau yang hendak diterbangkan mestilah menggunakan kertas yang tidak menyerap air.
11. Belakang wau tersebut tidak ditampal kertas hiasan dan ukiran sobek hanya mempunyai tiga atau empat lapis sahaja berbanding dengan wau hiasan yang mempunyai sehingga lapan warna.

Mengikat Tali Wau

Cara - cara
1. Wau perlu ditimbang terlebih dahulu sebelum dinaikkan supaya bahagian kepala dan sayap menjadi sama timbang bagi mengelakkan daripada wau menjadi berpusing.
2. Wau ditebuk dan diikat mengikut cantuman lidi bingkai wau.
3. Tali yang diikat perlulah seimbang pada kedua-dua sayap wau dan ekor wau.
Tip
- Wau mestilah dalam keadaan yang bertentangan dengan arah tiupan angin dan wau mestilah dalam keadaan tegak.
- Imbangan sayap, ekor dan teraju wau akan menjadi sesebuah wau itu terbang dengan sempurna dan terapung-apung di udara.

Selamat Mencuba!